Seluar dalam Saiful ditayang di mahkamah
KUALA LUMPUR - Orang awam yang memenuhi Mahkamah Tinggi di sini semalam tersenyum simpul apabila Mohd. Saiful Bukhari Azlan mengemukakan kepada mahkamah sehelai seluar panjang berwarna hitam pemberian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa dipakai ketika berlaku kejadian liwat terhadapnya di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.
Dua helai seluar dalam jenama Levi's milik Mohd. Saiful, 25, dengan satu daripadanya turut dipakai pada hari kejadian juga ditunjukkan kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah sebagai bahan bukti kes.
Lebih lucu lagi, saksi itu mendakwa, dia tidak membuang air besar selama dua hari iaitu sejak dia diliwat oleh Anwar sehinggalah laporan polis dibuat pada 28 Jun 2008.
Demikian antara isi keterangan bekas pembantu peribadi Anwar selaku saksi pertama pendakwaan pada hari ketiga perbicaraan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Anwar, 63, mengaku tidak bersalah atas dakwaan meliwat Mohd. Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Mohd. Saiful menyambung keterangan di peringkat pemeriksaan utama oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan.
Dalam keterangannya, bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu memberitahu, dia diminta menyerahkan semua pakaian tersebut kepada pegawai penyiasat polis pada 29 Jun 2008 ketika masih berada di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Saiful: Saya ada serahkan sehelai kemeja warna biru muda jenama Ralph Lauren yang dipakai pada hari kejadian.
Yusof: Selain pakaian, ada serahkan yang lain?
Saiful: Ada, saya juga serahkan KY Jelly (sejenis gel pelincir organ seks) kepada polis.
Yusof: Berapa helai baju dan seluar yang diserah?
Saiful: Seingat saya di hospital hanya sehelai.
Mohd. Saiful kemudian diminta membacakan borang menyerah barang bukti tersebut yang telah ditandatanganinya dan dengan bersahaja saksi pertama itu menunjukkan semua bahan bukti tersebut kepada Hakim Mohamad Zabidin.
Saiful: Lain-lain pakaian yang saya serahkan ialah sehelai baju kemeja lengan panjang berwarna hijau muda jenama G2000 yang dipakai ketika membuat laporan polis.
Sehelai seluar panjang berwarna hitam tiada jenama yang saya pakai pada waktu kejadian dan ketika membuat laporan polis pada 28 Jun 2006.
Seluar panjang ini sebenarnya dihadiahkan oleh Anwar kepada saya.
Orang awam yang melihat barang bukti itu dilihat berbisik-bisik sambil tersenyum manakala ahli keluarga Anwar pula berpandangan sesama sendiri seolah-olah tidak percaya.
Anwar yang sedang khusyuk menulis di dalam kandang pesalah pula memandang Mohd. Saiful sebelum berpaling ke arah isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan berkata sesuatu.
Saiful: Selain itu, dua helai seluar dalam jenama Levi's, masing-masing berwarna kelabu dan biru tua, yang dipakai pada waktu kejadian dan ketika membuat laporan polis.
Ketika seluar dalam tersebut ditayangkan di mahkamah, kelihatan beberapa wanita menutup mata dan ada yang menundukkan muka kerana tidak selesa dengan suasana tersebut.
Yusof: Di mana kamu serahkan semua barang itu kepada polis?
Saiful: Di tepi mesin basuh di rumah tunang saya.
Ditanya sama ada Dr. Mohd. Osman Abdul Hamid yang memeriksanya di Hospital Pusrawi memberikan sebarang hasil pemeriksaan, Mohd. Saiful menjawab tidak.
Mohd. Saiful juga berkata, dia tidak membuang air besar dalam tempoh masa dia diliwat selama dua hari sehinggalah dia membuat laporan polis.
Keterangan saksi tersebut disambut dengan gelak ketawa oleh mereka yang berada di galeri mahkamah manakala sesetengah yang lain turut tersenyum simpul.
Pada awal keterangan, pihak pendakwaan mengemukakan 10 sampel yang diambil daripada Mohd. Saiful untuk dibuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA), antaranya calitan yang diambil di bahagian bawah lidah, tubuh dan dubur serta sampel darah mangsa liwat itu./Kosmo
Perbicaraan bersambung Isnin ini.
Ulasan sikit
Tiada ulasan:
Catat Ulasan