Ust Saiful Bahri
Perang adalah strategi. Strategi adalah tipu helah.Peperangan dalam politik adalah peperangan saraf dan mental. Psycological of warfare yang berkesan akan menarik sokongan serta menjauhkan dan meninggalkan musuh daripada mendapat sokongan. Mereka menggunakan segenap ruang dan peluang. Samada bertahan atau menyerang. Dalam suasana seperti inilah orang yang bijak mengambil kesempatan dan peluang nescaya ia memperolehi kemenangan. Perang itu adalah muslihat. Ia disebut oleh Baginda Saw sendiri dengan sabdanya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ هَلَكَ كِسْرَى ثُمَّ لَا يَكُونُ كِسْرَى بَعْدَهُ وَقَيْصَرٌ لَيَهْلِكَنَّ ثُمَّ لَا يَكُونُ قَيْصَرٌ بَعْدَهُ وَلَتُقْسَمَنَّ كُنُوزُهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَسَمَّى الْحَرْبَ خَدْعَةً
Daripada Abu Hurayrah r.a: Bahawa Nabi Saw telah bersabda: “Akan jatuhnya Kisra dan tiada lagi Kisra selepas itu dan akan tumbangnya Kaisar dan tiada lagi Kaisar selepas itu. Kamu akan membahagikan hartanya fi sabilillah dan dinamakan perang itu adalah muslihat”. Riwayat Bukhari.
Ketika perang sifin, tentera Muawiyyah yang telah hampir dikalahkan telah mengangkat al-Quran di hujung tombak masing-masing yang menyebabkan tentera Ali berhenti memerangi tentera Muawiyyah. Meskipun Ali memerintahkan untuk meneruskan peperangan tetapi tenteranya sudah tidak bersedia dan memilih perdamaian. Dalam peristiwa tahkim, sekali lagi Amr ibn al-‘as sebagai wakil Muawiyyah telah memperdayakan Abu Musa al-Asy`ari yang menyebabkan jawatan Ali sebagai khalifah terlucut dan tertabalnya Muawiyyah menjadi khalifah. Orang melayu menyebut, ilmunya sekati tetapi akalnya seguni nescaya dia boleh mengalahkan mereka yang ilmunya seguni tetapi akalnya sekati. Walau apapun ulasan yang dibuat dalam peristiwa Ali dan Muawiyyah itu, yang pasti Bani Umayyah telah tertegak dan berjaya memerintah beratus tahun. Berjaya menyerlahkan kegemilangan dan pembukaan negara umat Islam dengan cara mereka tersendiri. Apapun kedua mereka adalah sahabat yang tidak segia kita mentajrihkan (melukai) mereka. Masing-masing dengan ijtihad masing-masing.
Silih bergantinya pemerintahan dan sultan dengan pelbagai peristiwa dan catatan sejarah. Setiap masa dan setiap tempat, apabila membicarakan pemerintahan dan perjalanan politik sudah pasti ada pro dan kontranya.
Sehinggalah dimasa kini. Perjalanan politik pilihanraya mendedahkan dengan pelbagai tindakan dan tingkah-laku yang tidak selari dengan jiwa lembut dan naluri akhlak dan kemanusiaan seseorang. Yang terkini apabila menyentuh pilihanraya di Hulu Selangor. Lahirnya cara berpoltik yang jauh dari akhlak Islam. Dedah mendedah, londeh melondeh dan sebagainya. Sebab itulah terdapatnya kelompok tidak mahu terlibat dengan politik pilihanraya dan mengambil sikap mengasingkan diri. Mereka menyibukkan diri mereka dengan urusan masing-masing dan berzikir kepada Allah. Itu lebih bermanfaat buat mereka. Mereka menerima sahaja sesiapa yang menjadi pemerintah dan memberi ketaatan tanpa bangkangan. Mereka berkata: “saya tidak berpihak mana-mana”. “Politik itu kotor dan taknaklah terlibat”.
Apatah lagi apabila Tan Sri Harusani menfatwakan haram berpolitik didalam masjid dengan alasan “Politik sekarang boleh memecahbelahkan umat dan haram hukumnya berceramah politik di masjid. Masjid adalah tempat umat Islam bersatu, melakukan ibadah,” katanya. Inilah tindakan mengangkat al-Quran ketika kelihatan perang hampir kalah. Inilah yang disebut oleh Khalifah Ali r.a sebagai: “Perkataan yang benar tetapi yang dikehendakinya adalah batil” Ini adalah strategi politik seperti mana diambil oleh Amr ibn al-‘As. Pihak media terus menggempur dan mengambil kesempatan. Pihak polis melingkungi masjid di bimbangi adanya demontrasi politik. Pihak pejabat agama akan mengambil tindakan jika khutbah berpolitik. Jangan bicara tentang politik… haram. Politik itu jijik. Tok Imam, tok bilal, para ulama, para ustaz, orang baik-baik jangan terlibat dengan politik. Orang yang terlibat dengan politik jadi kotor orangnya. Orang beriman, beribadah saja kat masjid, urusan pemerintahan dan politik serahkan kapada orang lain. Jangan masuk campur.
Akhirnya urusan politik pemerintahan berada ditangan orang yang kotor dan jijik dari segi agamanya dan akhlaknya. Sedangkan Islam mengajar sekcil-kecil perkara sehingga cara memasuki tandas. Tidak munasabah perkara besar seperti menjaga ummah, memerintah, mentadbir, menegakkan hukum tidak di ajar didalam Islam. Sedangkan Islam pernah memerintah 2/3 dunia dan mencecah hampir 1500 tahun. Apakah tiada politik? Inilah kebinasaan dan era kejatuhan umat Islam sendiri apabila membelakangkan Islam ketika memilih kepimpinan.
Kenapa begitu fobia dengan perkataan politik. Sedangkan siasah adalah cabang ilmu yang penting dalam pengajian Islam serta mulia kedudukannya. Allah swt mengangkat Nabi Adam a.s sebagai khalifah dan pentadbir bumi. Mustahil tanpa politik boleh melaksanakan tugas khalifah. Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Zulkarnain dan Nabi Muhammad Saw adalah pemerintah. Kalau sekadar nak beribadah. Sembahyang, puasa, zakat, haji maka tak perlu Rasulullah saw berhijrah. Tak perlu berhabis duit, berperang sehingga ramai sahabat yang mati syahid kalau bukan kerana memerintah di Madinah. Baik beribadah kat Mekah di tepi masjid al-Haram. Pahala pun berganda-ganda. Boleh cium Hajar al-Aswad dan minum air zam-zam sepanjang masa. Tetapi ditinggalkan semua itu untuk menegakkan hukum Allah yang sempurna. Tiada kuasa politik untuk dilaksanakan di Mekah tetapi berjaya di sebuah negara di Madinah. Pentingnya kuasa politik sehingga para sahabat berbincang memilih penganti baginda di Balai bani Saqipah berbanding menguruskan jenazah Rasulullah Saw. Semua sahabat bertebaran dimuka bumi menyertai futuhat kerana kuasa politik yang digunakan untuk melaksanakan perintah Allah Swt. Itulah yang disebut oleh Imam Mawardi sebagai matlamat khalifah: “Menggalang-gantikan tugas nubuwwah untuk menjaga agama dan memerintah dunia dengan agama”. Itulah kehebatan dan zaman keagungan Islam.
Setelah empayar Islam jatuh dan hilangnya sistem khalifah lalu penjajah sedaya upaya mengasingkan kekuatan Islam dari kuasa pemerintah. Agenda sekular ini diteruskan dikalangan orang Islam sendiri.Inilah cakap-cakap penjajah yang diwarisi oleh umat Islam sehingga sekarang. Inilah cakap-cakap pejuang sekularisme semenjak awal abad ke 19 hingga kini.
دع لله لله وما لقيصر لقيصر
Serahlah urusan Allah kepada allah dan urusan kaisar kepada Kaisar
Kebejatan pihak Kristian dan gereja berpakat serta menghalalkan pemerintahan melakukan kezaliman menyebabkan bangkitnya renaissance yang akhirnya menyisihkan agama dari pemerintahan dan mengikut Karl Marx, untuk memajukan negara hendaklah membuang agama dari pemerintahan.Ideologi sekularisme ini dibawa penjajah ke negara-negara Islam sehingga kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah Turki oleh Kamal ataturk juga membawa agenda sekularisme.
Para penjajah ketika datang ke tanah melayu juga hanya meletakkan agama dan adat istiadat melayu dibawah kuasa Sultan tetapi segala urusan pemerintahan diserahkan kepada penjajah British. Mereka yang menentang dianggap penjenayah dan pemberontak. Tuan Guru Hj abdul Rahman limbong diistiharkan sebagai penderhaka kepada Sultan kerana menentang penjajah. Orang yang taat dan tidak melewan meskipun dijajah itulah orang yang setia dan beriman.
Ingatkan dah 50 tahun merdeka, akal serta fikiran mula merdeka tetapi dijajah pula oleh penjajah bangsa sendiri yang meneruskan agenda penjajah. Munasabahlah lagu lama dikitarkan semula.
UMNO-Bn sendiri menggunakan fatwa Harusani demi politik bukan untuk pelaksanaan syariah. Ketika beliau berfatwa tentang sure heboh itu haram. Apa tindakan UMNO-BN? Tiada apa-apa tindakan bahkan Sure Heboh dibawa ke Perak dihadapan pintu tangga Harusani sendiri. Kenapa dibiarkan ? kerana ia tidak menguntungkan politik UMNO-BN.
Kalau berpolitik dalam masjid itu haram nescaya berpolitik diluar masjid juga haram jika alasan perpecahan umat. Harusani sepatutnya mengharamkan semua perkara yang membawa kepada punca politik perpecahan itu. Haramkan sistem pilihanraya. Haramkan parti-parti politik. Biar UMNO-BN sahaja yang memerintah berdasarkan sistem satu parti seperti negara-negara Komunis. Biarkan sahaja UMNO-BN memerintah dengan dasar penjajah Lord Reid yang ditinggalkan sehingga kini dengan taat dan redha meskipun hokum Allah tidak tertegak dibumi ini. Tiada lagi amr am’ruf dan tiada lagi nahi munkar. Jadilah politik suku agama suku.
Sedangkan dalam Islam kehidupan muslim itu tidak pernah terpisah dari Islam. 17 kali sehari semalam kita melafazkan ikrar dan sumpah Firman Allah Swt Surah al-An`am: 162
قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah sesungguhnya sembahyangku, korbanku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan sekelian Alam
Banyak ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan supaya menerima pakai Islam secara keseluruhannya:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Al-Baqarah : 208
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ
Adakah kamu beriman dengan separuh kitab dan mengkufuri separuh kitab? Al-Baqarah : 85
Kalau disorot sejarah pula didapati masjid di zaman Rasulullah Saw menjadi pusat segala aktiviti umat Islam. Ia bukan hanya sebagai markaz solat dan ibadah (seperti masjid hari ini) tetapi ianya sebagai pusat ilmu dan pendidikan (universiti), tempat pertemuan pimpinan dan mesyuarat (Parlimen dan DUN), pusat pentadbiran (Pejabat SUK) dan pertemuan pimpinan negara-negara luar dengan Rasulullah Saw (Istana Negara/ Putrajaya). Disitu jugalah Rasulullah Saw memberi tawjihat dan khutbah tentang agama, sosial, ekonomi dan politik bahkan masjid juga sebagai pusat latihan ketenteraan dizaman baginda. Tiada pemisahan antara agama dan politik dizaman Rasulullah Saw sebagaimana yang diimani oleh masyarakat sekarang. Tiada tempat lain dalam urusan politik Nabawi melainkan didalam masjid sehingga memisahkan bahawa ini urusan agama dan ini urusan dunia. Masjid ketika itu sebagai pusat dakwah dan Negara.Begitu juga dizaman Khalifah ar-Rasyidin selepas pemerintahan baginda. Bai’ah kepimpinan mereka dilakukan didalam masjid. Bahkan ucapan Abu Bakar sebagai khalifah pertama tidak diadakan di stadium atau di pejabat SPR atau di parlimen tetapi dilakukan dalam masjid. Bahkan ucapan pertama beliau :
أيها الناس إني وليت عليكم و لست بخيركم ، إن رأيتمونى على حق فأعنونى ، و إن رأيتموني على باطل فسددوني
Wahai manusia. Sesungguhnya aku dipilih menjadi pemimpin keatas kamu dan aku bukanlah yang terbaik dari kalangan kamu. Jika sekiranya kamu melihat aku benar maka tolongilah aku. Jika kamu melihat aku melakukan kebatilan maka tegahlah aku.
Ketika Umar al-Khattab dilantik beliau juga melakukan tindakan sama agar rakyatnya menegur dan mengkritiknya jika terseleweng:
أيها الناس من رأى منكم في اعوجاجاً فليقومنى . فرد عليه أحد المصليين . والله لو رأينا فيك اعوجاجاً لقومناه بحد سيوفنا. فرد عليه أمير المؤمنين. الحمد لله الذي جعل في رعية عمر من يقوم اعوجاجه بحد سيفه
Wahai manusia, siapa melihat dikalangan kamu aku menyeleweng maka perbetulkanlah aku. Maka dijawab dikalangan orang yang hadir bersembahyang itu: Demi Allah jika kami melihat engakau menyeleweng kami akan memperbetulkan dengan pedang kami. Di jawab oleh Amir al-Mukminin: Alhamdulillah yang telah menjadikan rakyat Umar membetulkannya dengan pedangnya.
Satu ketika Umar berkhutbah didalam masjid dan menyebut supaya mentaatinya. Lalu bangun Bilal menyebut engan taat. Apabila ditanya sebabnya kerana ia merasakan Khalifah Umar tidak adil dalam membahagikan kain kerana badan Umar yang lebih besar tidak mencukupi kain yang dibahagikan sehinggalah anaknya Abdullah memberi penjelasan bahawa bahagiannya diberikan kepada ayahnya untuk mencukupkan pakaian yang dipakai Umar. Kalaulah secebis kain diungkit dan disebut dalam masjid sebagai menjaga amanah baitul mal dan kewangan negara agar tidak diseleweng amat malang kalau hari ini tidak boleh disebut didalam masjid penyelewengan beratus juta maupun berbillion duit rakyat dan umat Islam. Kalaulah penegur Umar disebut alhamdulillah, kenapa tukang tegur hari ini ingin diambil pelbagai tindakan bahkan perbuatan tersebut dianggap haram.
Masjidlah tempat yang sepatutnya untuk memberi penjelasan antara hak dan batil. Masyarakat memerlukan pandangan dan panduan agama yang sepatutnya dijelas dan diberi hujah untuk tindakan umat Islam. Umat islam perlu diberi peringatan dan nasihat agar tidak tertipu dan terpedaya dengan kejahatan maupun kezaliman. Sabda baginda Saw:
عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ
Daripada tamim al-dari bahawa Rasulullah Saw bersabda: Agama itu nasihat: Kami bertanya: Kepada siapa ya Rasulullah? Sabda baginda: Bagi Allah, bagi kitabnya, bagi Rasulnya, kepada pemimpin-pemimpin umat Islam dan orang ramai”. Riwayat Muslim.
Apatah lagi menjadi kewajipan umat Islam melaksanakan amr ma’ruf dan nahi munkar sebagaimana difirmankan Allah:-
و العصر إن الإنسان لفي خسر إلا الذين أمنوا عملوا الصلحات و تواصوا بالحق و تواصوا بالصبر
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.
كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف و تنهون عن المنكر تؤمنزن بالله
Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu mengajak kepada ma’ruf dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.
Atau cukup mendiamkan begitu sahaja kemungkaran, penyelewengan, rasuah dan sebagainya. Sekadar menjadi syaitan bisu, maka itu bukan kerja ulama’. Ulama pasti menyatakan kebenaran meskipun ianya pahit. Rasulullah Saw mengangkat keberanian mereka itu sebagai jihad yang paling afdhal :-
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
Daripada Abi Saed al-Khudri berkata: Rasulullah Saw bersabda: Setinggi-tingi jihad adalah perkataan yang benar dihadapan pemimpin yang zalim” hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad
.Jika mereka menyebarkan keburukan, fitnah dan kerosakan kepada masyarakat awam melalui media massa dan sebagainya, sedangkan semua ruang untuk menasihat, menegur dan berdakwah ditutup, masjid adalah benteng terakhir. Kalau benteng itu juga tertutup nescaya masyarakat berada dalam kegelapan dan kezaliman. Bagaimana untuk mengeluarkan mereka? Usahalah semampu yang dapat. Gunakanlah harta, tangan, lidah maupun hati kamu. Mereka diajar supaya khutbah dilawan khutbah, syaer dilawan syaer dan pedang dilawan dengan pedang.
عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اهْجُوا بِالشِّعْرِ إِنَّ الْمُؤْمِنَ يُجَاهِدُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ كَأَنَّمَا يَنْضَحُوهُمْ بِالنَّبْلِ
Hentam mereka dengan syaer-syaer. Sesungguhnya orang mukmin berjihad dengan dirinya dan hartanya. Demi jiwaku yang berada dalam gengamanNya sebagaimana kamu membasahi mereka dengan panah. Riwayat Ahmad.
Sila lihat fatwa Syeikh Islam Yusuf al-Qardhawi ketika ditanya persoalan adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik. Apakah dalilnya jika harus dan apakah dalilnya jika ia ditegah? Jawapan beliau adalah dilarang jika menyebut nama-nama pribadi dengan menghina dan mencela serta memaki atau menggunakan masjid dengan tujuan ta’sub kepartian yang membawa kepada penentangan hukum syariah. Jika sekiranya politik pemerintah ingin menggunakan masjid demi mendirikan politiknya dan bukannya mengukuhkan hukum syara’ maka masjid perlu berpihak kepada hukum syara’ dan bukannya alat kepada pemerintah. Maka tidak seharusnya masjid diharamkan untuk melaksanakan fungsinya dari segi tabie, logik maupun sejarahnya sebagai benteng mempertahankan syara’ dengan memberi ingatan kepada ummah dan menjauhkan mereka dari para thagut yang menggangu-gugat syariatnya dan memaksa untuk mengikut hawa nafsu pemerintah yang tidak untuk Allah Swt. Sesetengah negara Islam pemerintah mewujudkan peraturan dan undang-undang yang bertentangan dengan Islam dan memaksakan ulama menggunakan mimbar-mimbar mereka demi kepentingan politik mereka. Minbar tidak lagi menjadi lidah yang benar bagi risalah Islam tetapi sebagai propaganda kerajaan memerintah. Sepatutnya masjid berfungsi sebagai lidah kebenaran, memberi petunjuk berkesan kepada ummah serta mengembalikan kemulian ulama dan pendakwah daripada Allah Swt.Entahlah kalau Tan Sri nak menyanggah fatwa Syeik Islam. Itulah peliknya. Bercakap politik dalam masjid itu haram tetapi jika UMNO-BN meruntuhkan masjid bujal di Kemaman demi politiknya, dan terkini ingin meruntuhkan masjid Pasir Mina pulak, tidak haram? Semoga Allah Swt menunjukkan kita yang batil itu batil dan menjauhi kebatilan dan yang benar itu benar dan kita bersama-sama dengan kebenaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan