PERLUKAH KERAJAAN MEMINTA MAAF TERHADAP BEKAS TAHANAN ISA?

Isnin, Mei 25, 2009

surat terbuka utk dato' mufti

Surat Terbuka Untuk Dato’ Mufti Perak BayangDiAir menulis "
Pertamanya, saya ingin memohon maaf kepada Dato’ Mufti Perak sekiranya pandangan saya ini tidak tepat dan menyimpang dari kebenaran. Tetapi apa yang saya dapat baca dari kenyataan dan tindakan mufti Perak mutakhir ini khususnya dalam kemelut politik Negeri Perak, seakan sikap dan pendirian politik Dato’ yang ingin disembunyikan sekian lama, kini sudah dapat dibaca oleh orang ramai.



Dato’ menghentam PAS kerana bersekongkol dengan orang bukan Islam dalam DAP. Dato’ mempertikaikan sikap orang PAS yang sanggup berpelukan dengan pemimpin-pemimpin DAP sedangkan DAP tidak akan merestui Islam yang ingin ditegakkan oleh PAS berdasarkan kata-kata Karpal Singh yang mencabar PAS melangkah mayatnya dulu untuk mendirikan Negara Islam.. Dato’ juga mempertikaikan sikap muslimat PAS dan TG Nik Aziz yang bersimpati dan membela Elizabeth Wong dalam isu gambar separuh bogel.

Pandangan Dato’ saya percaya bertolak dari sikap Dato’ yang mulia iaitu lebih rela Islam berkuasa dan cemburu terhadap kekuasaan orang bukan Islam. Dato’ merasakan kalau UMNO yang memerintah Perak, maka bermakna Islamlah yang berkuasa. Dan apabila pemimpin PAS menjadi MB dalam keadaan exco hampir keseluruhan bukan Islam, maka bukan Islamlah yang berkuasa.

Dari premis apakah Dato’ lebih rela UMNO memerintah Perak? UMNO yang memerintah atau BN yang berkuasa? BN itu, Islamkah? Mana satukah negeri di Malaysia ini UMNO secara tunggal memerintah? Jangan Dato’ nampak Islam UMNO sahaja, BN Dato’ tidak nampak. Ikhlaslah Dato’. UMNO tidak pernah dalam sejarahnya bertanding dalam pilihanraya atas tiket bendera keris telanjang? Faham-fahamlah Dato’.

Kalau Dato’ beranggapan PAS bekerjasama dengan bukan Islam DAP, apakah UMNO tidak bekerjasama dengan bukan Islam MCA, MIC dan parti bukan Islam di Sabah dan Sarawak? PAS berkawan dengan DAP baru setahun , Dato’ Mufti telah nampak ‘kekotorannya’. UMNO berkawan dengan bukan Islam MCA dan MIC sudah 50 tahun, Dato’ mufti buat apa selama ini? Mana lebih benar di sisi Islam; tahaluf PAS dengan wala’ UMNO pada bukan Islam?

Apakah UMNO itu parti Islam? Parti Islam jenis apa yang membenarkan undang-undang bahawa anak-anak orang kafir tidak boleh masuk Islam walaupun ibu atau bapanya masuk Islam seperti yang diputuskan oleh kabinet pimpinan UMNO baru-baru ini? Parti Islamkah UMNO yang dibela secara selindung oleh Dato’ Mufti dalam keadaan parti itulah melalui pemimpin ulungnya menarik bantuan untuk sekolah agama rakyat? Kalau nak disusunatur satu persatu, maka banyak yang Dato’ Mufti kena lihat balik.

Saya hairan bagaimana Dato’ Mufti melihat kes Elizabeth Wong? Isu sebegini mudah pun Dato’ Mufti boleh terkeliru. Dato’ keliru tetapi Dato’ nak salahkan pula muslimat PAS dan TG Nik Aziz. Saya tak mahu jawab isu ini. Cukuplah Dato’ mengatakan saya jalang apabila gambar saya sedang mencangkung di bilik air rumah saya dicandid dan disebarkan dalam internet. Adilkah sikap ini Dato’?

Kesimpulannya, berpuluh tahun Dato’ berjaya menyembunyikan kecenderungan dalam politik. Akhirnya, saya diberikan jawapan oleh ucapan dan sikap Dato’. Saya tidak merendahkan martabat Dato’ kerana Dato’-lah antara mufti yang tinggi ilmunya dan ada keberanian dalam mengutarakan sesetengah isu. Alangkah baiknya, tulisan saya yang rendah ilmunya ini menjadi pencetus kesedaran Dato’.

BayangDiAir,

Kemaman, Terengganu.

"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan