PERLUKAH KERAJAAN MEMINTA MAAF TERHADAP BEKAS TAHANAN ISA?

Khamis, Disember 03, 2009

Media Arus Perdana Tak Mampu Tumbangkan Nik Aziz

MAKIN hari semakin menirus, itulah gambaran yang boleh diberikan kepada usaha pihak tertentu khasnya media arus perdana dan blog liar untuk mengugat dan mengugurkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dari kerusi MB. Pendedahan yang dibuat oleh media dan blog, bunyi hebat tetapi kesan tidak seberapa. Macam meriam buluh tersumbat saja.
Makin lama pendedahan dibuat dengan maklumat-maklumat kononya baru, jadi semakin lemah dan tidak berkualiti. Adakalanya melebih-lebih dan menyebabkan pembaca mula naik muak.
Himpunan membantah dan mendesak Nik Aziz di hadapan pintu pagar Kota Darulnaim dua hari lalu yang dilakukan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan (JPRK) dihadiri kira-kira 47 (tidak termasuk anggota polis, wartawan/jurufoto dan orang Pas) tidak memberi bekas apa-apa. Himpunan membawa dua tiga batang sepanduk itu seolah-olah budak sekolah Tadika menyambut hari kelahiran Nabi (Maulud) saja.

Bahkan tunjuk perasaan itu menguatkan lagi kedudukkan Nik Aziz. Nik Aziz kini mendapat simpati yang melimpah ruah.

Betapa tidak, baik Dewan Pemuda, Dewan Ulama tidak berdiam diri mengenai kedudukan Nik Aziz, bila ada tunjuk perasaan itu mereka bangkit membela tok guru mereka dan masing-masing menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada MB itu.

Tengoklah apa yang akan berlaku di Dataran Ilmu di Kota Bharu esok, di mana dirancangkan untuk mengadakan himpunan menyatakan sokongan kepada Nik Aziz. Kalau tidak hujan pasti jumlah mereka yang hadir akan berlipat ganda. Majlis mengajar – dengar kuliah Nik Aziz itu akan bertukar menjadi majlis berdoa dan menyokongnya. Tengoklah...

Sebuah akhbar arus perdana juga hari ini sudah ketiadaan modal, terpaksa memusing rekod lama mendedahkan mengenai rumah, bangunan dua tingkat, stesen minyak dan kedudukan sekolah Darul Anuar di Pulau Melaka. Itu semua cerita lama yang sudah tidak lut!

Di sini saya tidak mahu menafikan kebenaran itu semua, tetapi bagi rakyat Kelantan isu-isu peribadi dan melibatkan keluaraga Nik Aziz tidak berapa membekas. Ia diterima sewajanrya oleh rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan saya yakin tidak akan marah sampai memberontak mengetahui apa yang didedahkan itu. Kewarakan dan keperibadian Nik Aziz mengkaliskan semua itu.

Salahkah kalau Tuan Sabariah Tuan Ishak memiliki dua buah rumah kedai dua tingkat? Hak mendapat dan mencari harta adalah hak semua orang. Harta itu dibeli dengan wang ringgitnya sendiri. Selama 19 tahun suaminya menjadi MB, dan selama 21 tahun suaminya menjadi wakil rakyat, apakah tidak mungkin Tuan Sabariah memiliki rumah kedai sebagai pelaboran? Dia juga tahun suaminya orang politik. Nasib orang politik, akan boleh jadi apa saja. Jadi apa yang beliau lakukan adalah langkah beringat.

Tuan Sabariah juga ada anak, 10 orang. Salahkan kalau beliau kumpul wang pemberian anak dan menantunya, dan suaminya dan ditugukan atas rumah kedai itu? Zalimlah dunia kalau hanya kerana isteri seorang tok guru dan MB maka Tuan Sabariah tidak boleh memiliki harta sedikit itu.

Demikian juga halnya stesen minyak milik salah seorang anak Nik Aziz itu. Sekali lagi bukan saya nak nafikan akan harta perniagaan itu. Tetapi salahkah kalau anak Nik Aziz memiliki stesen minyak? Bukankah perniagaan dihalalkan? Saya tidak mahu menjustifikasi perkara ini dengan mengatakan anak politician lain lebih hebat. Tetapi perlu disedari, sebagai anak kepada MB, anak-anak Nik Aziz tidak mendapat elaun dari kerajaan negeri. Untuk hidup, kahwin dan berumah tangga mereka memerlukan pekerjaan dan perniagaan sendiri. Satu masa anaknya bernama Nik Abduh pernah menjual ubat-ubatan herba untuk hidup.

Adapun kedudukan sekolah Darul Annuar yang kini menjadi milik Yayasan al-Omari, milik Nik Omar Nik Abdul Aziz, sekiranya proses mendapatkannya tidak telus kenapa tidak dilaporkan saja kepada SPRM. Laporlah kepada SPRM. Saya yakin Nik Aziz tidak ada kuasa menghalang SPRM untuk menyiasatnya. Apakah ianya sudah dilapor dan siasatan sudah dibuat?

Begitu juga rumah Nik Aziz yang dikatakan buruk di depan dan cantik dibelakang. Saya tidak mahu bercerita panjang, semua orang boleh pergi dan tenguk dengan mata kepala sendiri. Saya pernah mendengar banyak orang bercerita demikian tanpa dia pergi melihat sendiri keadaanya. Pergilah sendiri dan periksa sendiri. Bawa QS dan arkitek dan kontraktor, kira dan nilai sendiri berapakah nilai sebenarnya rumah Nik Aziz itu kemudian dedahkan seluas-luasnya.

Usaha untuk memburukkan Nik Aziz dengan pemilikan harta dan kekayaan tidak berbaloi dan menimbulkan kemarahan rakyat Kelantan. Sebab rakyat Kelantan sudah makrifah dengan kehidupan Nik Aziz yang zuhud dan sedarhana. Bukti yang didedahkan hanya andaian semata-mata dan bukan yang hakiki. Kalau setakat ambil gambar dan figurenya direka, mengatakan harta Nik Aziz 10 juta tidak berbaloi. Ia satu kesilapan dan kenaifan si tukang penilai itu sendiri. Sepatunya harta Nik Aziz perlu dinilai sampai mencecah RM 100 juta barulah boleh membeliakkan biji mata. RM10 juta, apa, sedikit sangat dalam nisbah hari ini.

Betul memiliki harta secara haram itu walaupun 10 sen salah, tetapi apakah yang berlaku itu benar-benar salah, atau tuduhan semata-mata? Tuduhan dan persepsi tidak boleh diterima pakai sebagai sesuatu yang mutlak.

Pada saya, apa yang Nik Aziz miliki dan Exco-exco lain miliki, baik Takiyuddin Hassan, Annuar Tan Abdullah, Mohd Amar Abdullah, dan yang lain-lain atau wakil rakyat seperti Wan Ismail Wan Jusoh, Zaki Ibrahim, Abdul Halim Abdul Rahman, Wan Abdul Rahim Abdullah, Abdul Fatah Haron dan lain-lain adalah wajar. Kenapa harus didengki apa yang mereka perolehi. Kalau pun mereka perolehi kerana Pas menjadi kerajaan ia tidak salah dan bagi saya sesuatu yang wajar.

Kenapa saya berkata begitu? Kerana mereka inilah yang menyambungkan perjuangan siang malam tokoh-tokoh terdahulu yang bermula sebaik Pas kalah tahun 1978. Mereka yang menyambungkan perjuangan Buniyamin Yaacob, Cikgu Musa Salleh, Mohammad Amin, Saufi Othman, Yaacob Awang Besar, Wan Jamil Mohamad (semua Allahyarham), Omar Mohamad, Abdul Halim Abdul Rahman, dll.

Saya tahu sungguh akan kesungguhan dan kegigihan para pejuang ini. Mereka akan turun dari rumah sejak 6:00 petang dan akan pulang lewat jam 4:00 pagi kerana berceramah memberi kesedaran kepada rakyat. Kesusahan mereka dalam perjuangan membangkitkan semangat Pas hanya Allah saja yang tahu. Ada kalanya kereta kehabisan minyak tengah jalan dan terpaksa pulang berjalan kaki.

Jadi kalau mereka ini mendapat sedikit habuan untuk kelegaan kehidupan apa nak dipertikaikan. Saya yakin roh kepada para pejuang gigih Pas itu akan merasa senang dan bahagia kerana melihat para penyambung mereka boleh menikmati hasil perjuangan mereka. Al Fatihah untuk mereka sebanyak tiga kali.

Pada saya soal memiliki harta menerusi kuasa kerajaan selagi ianya masih tidak melampau dan dilakukan dengan prosuder yang betul boleh dihalalkan. Tidak kira mereka dari parti mana termasuk Umno, PKR ataupun DAP. Saya percaya rakyat Kelantan menyedari akan situasi ini sebab itulah soal pemilikan harta ini tidak menjadi titik bengik kepada mereka. Kebanyakan pemimpin Pas di samping ikut memiliki harta mereka tidak mengabaikan kepentingan rakyat. Itulah hakikatnya pentadbiran Nik Aziz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan