PERLUKAH KERAJAAN MEMINTA MAAF TERHADAP BEKAS TAHANAN ISA?

Isnin, September 28, 2009

"Saya cuma dikeluarkan dari Kem Kamunting, bukannya dibebaskan!"

Ditahan lama - hampir lapan tahun - kerana isteri (Norlaila Othman) aktif lawan ISA?


BEBERAPA hari menjelang Aidilfitri yang lalu, MAT SAH SATRAY yang ditahan hampir lapan tahun di Kem Kamunting dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan atas alasan beliau telah insaf. Regim Barisan Nasional (BN) menggunakan perkataan 'insaf' bagi mengambarkan Mat Sah bersama empat lagi tahanan yang dibebaskan itu merupakan pengganas yang wajar ditahan selama lebih tujuh tahun.



BN menafikan pembebasan lima tertuduh ini ada kaitan dengan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang yang akan diadakan 10 Oktober nanti.
Mat Sah sebenarnya masih lagi ditahan di rumah beliau kerana tidak dibenarkan untuk keluar lebih dari pukul 10 malam dan tidak boleh keluar melebihi kawasan Ampang. Wartawan Harakah, SAADON AKSAH dan IRWAN MUHAMMAD ZAIN menemubual beliau di rumahnya - rumah yang sama ketiak beliau ditahan tujuh tahun lalu - di Keramat pada 24 September lalu.

HARAKAH: Boleh saudara ceritakan detik-detik penahanan saudara dan atas tuduhan apa ditahan?

MAT SAH: Saya ditahan pada tahun 2002. Masa tu saya bekerja sebagai juruteknik percetakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Mereka (polis) datang geledah rumah ini dan mengatakan ada alasan untuk menahan saya di bawah ISA kerana mengancam keselamatan negara. Masa itu saya tak ada nak bantah apa.

Mereka pun tak ada nak cakap apa. Jadi mereka geledah rumah kemudian bawa saya ke Pusat Tahanan Polis (PRC). Di situ selama dua bulan. Di kem itu saya rasa tak sampai 60 hari pun disoal siasat, rasa saya lebih kurang 30 hari saja, tam sampai pun, dalam tiga minggu saja, selebihnya duduk sajalah macam orang gila. Makan pun ala kadar saja.

Mereka tuduh saya ahli Jemaah Islamiyah (JI). Asasnya kerana saya kenal Haji Abu Bakar Bakhir, pernah mengaji dengan dia. Dan satu lagi kerana lawatan saya ke Selatan Filipina. Mereka kata saya ada belajar tentang senjata di sana. Tuduhan mereka lah.

Saya pergi ke sana atas lawatan kerana ada satu surau nak dibina di sana. Lawatan itu sebenarnya lawatan atas dasar saudara Islam. Saya ke sana selama dua minggu dan dalam tempoh itu saya dikatakan belajar mengenai senjata. Di sana kalau senjata kita boleh tengok bila-bila masa, budak-budak pun ada pegang senjata tapi saya pergi ke sana kerana surau yang nak dibina itu.

Itulah antara dia tuduhan yang dikaitkan dengan saya.
Dan ketika mereka mahu menahan saya dan mengeledah rumah saya ini, dalam masa yang sama rumah abang saya juga turut digeledah kerana mereka menyangka abang saya itu adalah saya.

Saudara ke Filipina tahun berapa dan ditahan pula tahun berapa?

Saya pergi tahun 1997. Saya ditahan pada tahun 2002. Saya pergi ada visa semua.

Apa yang mereka buat selama 60 hari itu?

Soal siasat saja. Biasanya dari pagi lebih kurang pukul sembilan hingga pukul lima petang. Dia akan tanya apa kegiatan Mat Sah, macam mana kenal Ustaz Abu Bakar Bakhir, apa pengajiannya. Saya terangkan lah apa pengajiannya.

Pernahkah dimaki hamun, tengking atau dipukul ketika disoal siasat?

Kalau kita macam dah boring tu, dia akan tengking-tengking. Aircond tu biasalah dibuatnya yang paling sejuk. Kalau kita nak buang air kecik diberinya botol saja. Buang air kat situ sajalah.

Penderaan mental kiranya?

Penderaan mental tu kira masuk dalam tu pun mental dah down. selama 58 hari kat sana. Akhirnya dia minta beri kerjasama, mintak mengaku ahli JI dan belajar tentang senjata. Saya pun malas nak layan, iya kan je lah. Lepas dua bulan dihantar ke Kamunting.

Dalam tempoh 60 hari itu, ada tak dibenarkan ahli keluarga datang melawat?

Dua kali setelah sebulan. Masa tu lah, isteri kata nak ambik lawyer tapi saya cakap tak perlu sebab diaorang kata lepas dua bulan tu dah boleh bebas tapi tak rupanya. Mereka kata beri kerjasama dengan bagus, habis dua bulan boleh bebas tapi sebenarnya tahan juga.

Lepas itu dibawa ke Kamunting untuk dua tahun pertama. Lepas itu, isteri saya ambik lawyer, saya tak faham apa-apa bab undang-undang ini. Lepas dua tahun pertama itu, isteri pun agak aktif dan lihat dia begitu semangat, saya tak lah tension sangat kat sana.

Lepas habis dua tahun pertama, kira penghujung tempoh itu, saya dibawa dari Kamunting ke PRC di Kuala Lumpur. Saya jumpa ASP Aziz rasanya, dia kata, "Mat Sah, kami tak boleh bebaskan kamu sekarang," pada hal dah habis tempoh, jadi saya tanya, "Sebab apa?" katanya, "Komitmen kami antara Asean terutama komitmen dengan Amerika untuk jalin hubungan banteras terrorist (pengganas), jadi kalau kami bebaskan kamu, apa kata mereka,".

Itulah antara yang saya ingat dan pada saya tak wajar langsung.
Esoknya, saya disambung tahanan dan dihantar balik ke Kamunting untuk dua tahun lagi. Dua tahun kedua, isteri pulak dan mula aktif dan bila isteri aktif, alasan mereka dah ke lain pulak. Enam bulan sekali, mereka akan datang ke sana untuk buat laporan dan semakan. Ada lembaga penasihat setiap enam bulan ada interview.

Setiap kali Special Branch (SB) datang, mereka nasihat supaya isteri slowkan sedikit atau jangan sertai mana-mana NGO. Kalau tak susah nak bebas. tapi saya pertahankan, apa kena mengena dengan isteri saya, dia kat luar apa kena mengena dengan saya.

Tapi itulah alasan mereka, lepas dua tahun kena lagi, lepas dua tahun kena lagi. Kemudian, saya cakap dari awal lagi saya cakap, saya tak bersalah. Di Kem itu ada peraturan, pagi-pagi kena keluar berdiri depan bendera, kena nyanyi negaraku, baca rukun negara, baca ikrar orang tahanan.

Saya tak ikut itu semua, saya cakap, "apa kena mengena semua ini? proses pemulihan macam mana ini?". Saya bukan salah, saya tak dibicarakan. Yang akan tentukan saya salah cuma hakim tapi saya tak dibicarakan. Saya ini kira jadi macam orang penentang.

Bersama saudara ketika itu berapa ramai ditahan atas tuduhan yang sama?

Sama dengan saya 11 orang atas tuduhan yang sama. Ada sorang kena tahanan di rumah.

Dalam 11 orang itu, ada tak yang dibebaskan selepas dua tahun pertama?

Tak ada. Group saya ini memang empat tahun lebih. Itu saya cakap, isteri tahanan yang lain tak ada yang aktif pun tapi tak bebas pun. Saya bagi alasan itu lah. Tapi memang diaorang boleh buat apa saja dengan ISA ini. Kita tak boleh buat apa.

Bila dah di Kem Kamunting itu masih ada lagi soal siasat?


Soal siasat nak charge tu takde lah. Cuma mereka ugut kalau nak bebas kena mengaku anggota JI, pernah belajar senjata di Filipina, macam itu sajalah. Kalau yang pergi Afghanistan tu kira memang dia nak sangat lah. Saya bertahan saja lah. Tapi lebih kepada isteri. Setiap kali mereka datang jumpa saya, mereka akan cakap, "macam mana nak bebaskan awak, isteri awak aktif sangat,". Itu sajalah alasan mereka.

Apa aktiviti setiap hari sepanjang berada di Kem Kamunting?

Satu tahun pertama, saya tak nampak apa aktiviti yang mereka laksanakan. Malah mereka tanya apa kami, apa aktiviti yang kami cadangkan. Mereka sebenarnya tak tahu nak buat apa dengan kami. Kami cakaplah apa-apa yang boleh isikan masa.

Panggil ustaz dari Jakim untuk bagi ceramah agama, adakan kursus keusahawanan. Adalah panggil pegawai FAMA pergi sana.

Tiga tahun aktiviti macam itu. Itu cadangan dari kami. Sejak itu sebulan sekali ada pegawai dari Jakim datang bagi cereamah, ada kelas tajwid, ada kelas bahasa Arab. Lepas itu ada yang masuk, ada yang keluar. Dalam tempoh di sana, paling ramai pernah ada sampai 106 orang tahanan.

Dan kebanyakkannya saya nampak mereka masuk dan mereka keluar. saya di sana lagi.

Masa saudara dibawa ke Kamunting, ada tak tahanan politik berada di sana?

Masa awal saya masuk, Shaari Sungib, Hishamuddin Rais, Tien Chua dan Ustaz Badrul Amin masih ada di sana. Itu pun selepas beberapa bulan mereka keluar. Anak Nik Aziz, Nik Adli pun masih di sana. Nik Adli awal masuk dari saya. Tuduhan beliau Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Bilik tahanan macam mana? Apakah saudara ditempatkan bersama tahanan lain atau bersendirian?

Sepanjang tiga tahun terakhir di sana, saya duduk asing, dalam satu sel. Yang mana melawan, akan duduk dalam satu sel dan yang ikut peraturan akan duduk ramai-ramai dalam satu dorm.

Yang dalam sel ini, bila malam dari pukul tujuh malam hingga tujuh pagi, pintu dikunci dan duduklah sendirian. Kalau dalam dorm ini, tutup juga tapi ramai-ramai, boleh lakukan solat berjamaah, boleh berbual. Dalam dorm ada TV. Dalam sel tak ada apa, bilik air pun kat situ. Macam-macam sekatan lagi, perjumpaan keluarga pun hanya melalui telefon macam banduan.

Kalau yang ikut peraturan yang tak melawan, mereka boleh jumpa bersemuka. Tapi kalau ikut peraturan itu kita kena ikut apa yang mereka nak. Saya tak boleh, saya rasa maruah tergadai. Tapi yang terpaksa ikut tu pun sebab tak ada sokongan dari keluarga, jadi mereka rasa down.

Saya sendiri pun kalau isteri tak aktif, tak boleh tahan juga. Isteri banyak membantu. Lawyer pun kerap datang, dari Bar Council, yang muad-muda, setiap kali datang, orang lain. Mereka ini yang akan bawa berita dari luar. Nak harapkan TV, ye lah TV mereka. Harakah pun tak boleh bawa masuk sana.

Saat akhir masih soal siasat lagi?

Itulah yang saya cakap lebih kepada soal isteri saya. Mereka suruh nasihat jangan aktif sangat. Tahanan lain pun dicakap benda yang sama, jangan aktif dengan GMI dan mereka cakap, "Tengok Mat Sah tu, lambat keluar sebab isteri dia aktif GMI,".

Tapi yang isteri tak aktif pun lambat juga keluar. Kita ni macam jadi mangsa. Asas yang pertama, ketika dua tahun pertama sebab nak jaga hubungan dengan Amerika, lepas itu sebab GMI. Mereka memang tak suka GMI ni. JI atau KMM tu semua dah tak ada.


Sejak perhimpunan itu ,mereka rajin datang. Selalunya enam bulan sekali tapi sejak perhimpunan mansuh ISA itu, dua bulan sekali mereka datang. Mereka tanya pasal ISA. Mereka tanya saya patut ke dimansuhkan ISA? Saya kata patut sangatlah.

Mereka kata kalau ISA ni tak ada habislah Malaysia ni. Mereka bagi tempoh tak sampai lima tahun, pergaduhan kaum macam 13 Mei akan berlaku lagi kalau tak ada ISA. Saya cakap betul ke ISA ni menyelamatkan negara?


Memang tak dibenarkan. Kita buat sendiri.

Pernah mintak tapi mereka guna fatwa Harussani. Dia pernah datang sana, dia kata orang-orang tahanan kalau ikut hukumnya tak salah kalau tak solat Jumaat. Jadi dia guna apa yang Harussani cakap itu.

Dengar-dengar macam itulah. Tiap-tiap tahun dengar macam itu. Tiap kali nak raya akandengar nak bebas. Dah mangli. Tapi seminggu sebelum bebas ada dua orang ustaz datang ke PRC untuk bersemuka. Alasan mereka, akidah saya pulak.

Mereka kata saya ni Wahabi, sesat. Ibnu Taimiyah pun mereka kata sesat. Saya pun tak tahu Wahabi itu apa. Apa kena mengena dengan akidah. Akidah itu hak sayalah. Kenapa nak tahan ISA pulak kerana akidah saya. Tapi itulah ISA ni memang dibuat sesuka hati nak tahan sesiapa. Macam saya, mula-mula KMM, kemudian JI, lepas tu sebab isteri aktif GMI dan akhirnya Wahabi.


Saya sebenarnya bukan dibebaskan tapi dikeluarkan dari Kem Kamunting. Sebabnya tepoh dua tahun terakhir saya itu masih ada hingga bulan Jun 2010. Jadi saya masih dikenakan tahanan di rumah. Bukan bebas pun. Seminggu sekali kena pergi ke balai polis. tak boleh keluar lebih dari pukul 10 malam.

keluar dari kawasan Ampang tak boleh, kalau nak keluar dari kawasan kena mintak kebenaran dari Ketua Polis Selangor dua minggu awal. Bila habis bulan Jun tahun depan, mereka boleh tambah lagi tempoh tahanan ini. Jadi bebas apanya.

Bila dibebaskan keluarga macam mana?


Keluarga semua gembira. Isteri, anak dan ahli keluarga lain semua gembira bila saya bebas.

Dan bila balik rumah setelah tujuh tahun terpisah dengan isteri dan anak, macam hubungan saudara dengan mereka?

Saya masih dalam proses menyesuaikan diri. Banyak perkara yang berubah selepas tujuh tahun. Anak saya pun dah besar. Kadang dia yang ajar saya, dah terbalik. Tapi saya perlu sesuaikan diri.

NORLAILA OTHMAN (isteri Mat Sah): Dia balik rumah mula-mula tu pun dia dah serabut, tengok rumah ada pokok bunga, almari semua tu. Di sana mana ada benda ni semua jadi untuk sesuaikan diri ambik masa. Bila dia membuka suis lampu bilik atau bilik air, dia tidak pernah menutupnya semula.

Saya sengaja bertanya, kenapa beliau sering lupa menutup suis lampu. Beliau memberitahu, selama 7 tahun hidup di Kem, sekalipun tidak pernah melihat dimana suis lampu kerana ianya terletak diluar bangunan dan penjagaan suis dilakukan oleh warden yang mengawal penggunaan lampu tersebut.

Saya terfikir, adakah KDN dan menterinya akan "cuci tangan saja" setelah tahanan dirosakkan semangat dan mentalnya selama tujuh tahun tersebut? Selagi Mat Sah belum kembali seperti sediakala, susah untuk saya memaafkan mereka-mereka yang begitu zalim kerana cuba "membunuh" semangat beliau untuk terus hidup.

Akhir sekali, saranan saudara mengenai ISA?


ISA ini perlu dihapuskan. Tahanan tanpa bicara itu yang penting untuk dihapuskan. Jangan hanya kaji tapi mesti laksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan